Monday, March 19, 2012

rasa yang tidak senang..

hari ini telah berlangsung aktiviti turun padang daripada pejabat ke satu wilayah di daerah dungun untuk menilai dan menyampaikan zakat kepada asnaf fakir dan miskin. bertolak sekitar pukul 8.30 dari kuala terengganu, melalui lebuhraya pantai timur mempercepatkan perjalanan, namun aktiviti pengubahsuaian jalan raya di tengah-tengah perjalanan sedikit melewatkan ketibaan. sudah bertahun lamanya aku menantikan jalan itu pulih namun sehingga kini, tiada kenampakan sedikit pun ia akan menjadi kenyataan.
tiba di dungun, disambut baik oleh warga disana yang menantikan ketibaan kami yang sememangnya agak terlewat, namun itu tidak melengahkan kami untuk terus bergerak ke kawasan kampung yang akan ditinjau. pada mulanya, disebabkan kawanku yang ingin ke tandas, kami terlewat bergerak dan ditinggalkan jauh di belakang, bila ketemu kembali dengan yang lain, mereka sudah selesai meninjau satu kawasan, lalu kami ke kawasan seterusnya, iaitu ke pembahagian dana oleh jabatan kebajikan masyarakat. berkobar kobar semangat wakil rakyat memberikan hujah dan taklimat politik kepada warga emas dan orang kurang upaya yang menerima bantuan JKM. "ah, pedulikan lah", fikirku, itu kan duit dana kebajikan masyarakat, yang sememangnya disampaikan oleh kerajaan, biarkanlah mereka menyampaikan sesuka hati mereka.
selepas itu kami bergerak ke perkampungan di kawasan lain pula, kali ini bersama wakil rakyat, hatiku berbangga dengan wakil rakyat ini, bagus juga beliau yang tidak membahasakan dirinya sebagai 'yang berhormat' tapi cukup sekadar wakil kepada rakyat dibawah jajahan beliau. namun, kata kata manis adalah satu kebiasaan oleh wakil rakyat, itu fikirku.
tiba di satu rumah, ada seorang wanita mengendong anak kecil, rumah itu sangat kecil, seperti sebuah bilik sahaja kelihatannya, tetapi dilengkapi piring astro, tandasnya di luar di tepi sebelah kanan rumah. di kawasan pedalaman sebegini, sekiranya tiada piring astro atau parabola, maka kamu akan tersisih dari dunia luar, tiada line telefon, tiada siaran televisyen, sama seperti duduk di sebuah pulau tiada berpenghuni. lalu bos menyuruh aku menyediakan duit zakat segera iaitu zakat tunai ke tangan wanita tadi atas keperluan hariannya yang kelihatannya sangat terdesak, tambahan pula hidup melarat di kawasan pedalaman yang tiada cara untuk menambah pendapatan melainkan kamu punya tanah sendiri. aku terkesima pabila zakat tersebut disampaikan melalui tangan 'wakil rakyat' yang turut 'berkempen' tambahan pula 'mengingatkan' wanita tersebut untuk menyokong dan mengundi 'pemerintah'.adakah patut mempolitikkan zakat sebegitu rupa?adakah wajar 'duit suci' disampaikan melalui tangan 'politik' yang pada pendapat aku memalitkan kekotoran kepadanya?
lalu, seterusnya begitu dan begitu, duit itu disampaikan ke tangan warga miskin dengan kata-kata berbaur politik.
pada pendapatku, wakil rakyat tidak sepatutnya menyampaikan duit zakat dengan niat meraih undi atau dengan niat berkempen, duit zakat bukanlah seperti duit daripada kebajikan masyarakat. tidak sepatutnya dipolitikkan, seharusnya sempaikan dengan ikhlas tanpa memilih biru atau hijau, ingat 'neraca' tuhan di akhirat adalah pasti akan ditempuh oleh semua.
lagi satu, zakat itu hak asnaf, tidak perlu kita menambah 'syarat' kepada mereka, sekiranya mereka layak, perlu diberi hak mereka sewajarnya.

No comments:

Post a Comment